Wednesday, June 30, 2010

BULAN SYA'BAN

 

KESIBUKAN umat Islam mengerjakan amal ibadah dalam sepanjang bulan Rejab, seharusnya diteruskan dengan amal ibadah dalam bulan Sya'ban. Ini disebabkan bulan Sya'ban juga penuh dengan keberkatan dan kebaikan, termasuk berbagai fadhilat dan kelebihannya.
Ini menepati maksud sebuah Hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang diriwayatkan dari Anas bin Malik r.a., sabda baginda bermaksud: "Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku (Rasulullah) dan Ramadhan adalah bulan umatku."
Ketiga-tiga bulan itu (Rejab, Sya'ban dan Ramadhan) hendaklah dihayati dan dimanfaatkan sebaik-baiknya, sebagai usaha pelaburan yang amat menguntungkan pada akhirat kelak.


FADHILAT DAN KELEBIHAN SYA’BAN


Terdapat banyak Hadis Rasulullah Shallalahu ‘Alaihi Wasallam mengenai fadhilat dan kelebihan bulan Sya’ban bagi mereka yang berusaha memanfaatkannya dengan mengerjakan berbagai amalan ibadah. Perhatikan sebahagian daripada Hadis-hadis baginda:
Sayidatina ‘Aisyah r.a. menyatakan, tidak pernah Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Sya’ban (selain bulan Ramadhan); sesungguhnya baginda Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berpuasa sebulan penuh.

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Usman bin Zaid menceritakan: “Saya telah bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam, wahai Rasulullah, saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Sya’ban; lalu baginda menjawab, itulah bulan (Sya’ban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadhan; ini adalah bulan di mana segala amalan di angkat kepada Tuhan pemilik sekalian alam. Oleh itu saya (baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.”

(Hadis Riwayat Imam Ahmad dan An-Nasai)

Oleh kerana setiap orang Islam mengharapkan agar amal ibadah masing-masing yang diangkatkan ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta’ala pada bulan Sya’ban itu diterima, maka sewajarnyalah kita sekalian memperbanyak lagi amal ibadah dengan penuh tawadhu’, ikhlas dan taqwa kepada-Nya. Jika Allah Subhanahu wa Ta’ala dapat menerima amal salih kita, maka sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menaikkan darjat kita dalam kehidupan dunia dan akhirat.
Sayidatina ‘Aisyah r.a. menceritakan, Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah bersabda:
(Sesungguhnya Allah Ta’ala turun pada malam pertengahan (nisfu) Sya’ban ke langit dunia dan mengampunkan dosa-dosa orang yang lebih banyak dari bilangan bulu-bulu kambing Bani Kalb).

(Hadis Riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:
“Sya’ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya’ban mengkafarahkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan menyucikan dosa (jasmani dan rohani).”
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Dinamakan Sya’ban kerana dalam bulan tersebut terdapat amat banyak kebajikan; dan puasa yang lebih afdhal ialah puasa dalam bulan Sya’ban.”
Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Kelebihan Rejab atas bulan-bulan lain seperti kelebihan Al-Qur’an atas qalam. Kelebihan Sya’ban atas bulan-bulan lain seperti kelebihan atas sekalian nabi-nabi. Kelebihan Ramadhan atas bulan-bulan lain seperti kelebihan Allah atas sekalian makhluk-Nya.”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud, apabila tiba malam Nisfu Sya’ban, maka pada malam tersebut berjagalah kamu dengan mendirikan solat, beribadat dan berpuasa pada siangnya. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman, “Sesiapa yang meminta ampun maka Aku mengampunkannya, mereka yang ditimpa bala bencana Aku lepaskannya, mereka yang meminta rezeki Aku berikan rezekinya.”
Sabda Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala memerhatikan hamba hamba-Nya pada malam Nisfu Sya’ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyengutukan Allah dan orang yang tidak mahu bercakap sama saudaranya (sesama orang Islam).
Diriwayatkan daripada Ka’abul-Akhbar bahawa Allah Subhanahu wa Ta’ala telah mengutus malaikat Jibril pada malam Nisfu (pertengahan) Sya’ban ke syurga. Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan supaya syurga dihiasi dengan seindah-indahnya. Malaikat Jibril berkata pada syurga, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerdekakan ahli neraka pada malam ini sebanyak bilangan bintang-bintang di langit, sebanyak jumlah hari dunia dan malamnya, sebanyak daun-daun pokok, seberat gunung-gunung dan sebanyak-banyak pasir.
Khalifah Umar Abdul Aziz telah memberitahu wakilnya di Basrah: “Hendaklah kamu perhatikan empat malam dalam satu tahun, kerana sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala membukakan pintu rahmat-Nya dengan seluas-luasnya iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Aidil-Fitri dan malam Aidil-Adha.


FADHILAT DAN KELEBIHAN PUASA SYA’BAN


Fadhilat dan kelebihan berpuasa sunat dalam bulan Sya’ban adalah terlalu besar. Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam telah berpuasa penuh sepanjang bulan tersebut.
Sayidatina ‘Aisyah r.a. meriwayatkan: “Saya tidak pernah melihat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam berpuasa sehinggakan saya mengatakan baginda tidak berbuka; dan baginda berbuka sehinggakan saya mengatakan baginda tidak berpuasa; dan saya tidak melihat Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam menyempurnakan puasanya satu bulan melainkan dalam bulan Ramadhan, dan saya tidak melihat baginda berpuasa di dalam sesuatu bulan melebihi dari puasa baginda di dalam bulan Sya’ban.”

(Hadis Riwayat Bukhari daripada Abdullah bin Yusof)

Sebuah lagi Hadis Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam bermaksud bahawa baginda suka berpuasa penuh sebulan Sya’ban kerana bulan tersebut malaikat maut menghapuskan nama orang-orang yang akan dicabut rohnya (mati) di sepanjang tahun itu. Baginda amat suka jika malaikat maut itu tidak mengambil roh baginda melainkan di dalam bulan Sya’ban (di mana baginda sedang berpuasa).
Puasa Hari Isnin
Sebuah lagi Hadis Rasulullah Shallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Abdullah r.a., bermaksud sesiapa yang berpuasa pada hari Isnin yang terakhir dalam bulan Sya’ban akan diampunkan dosanya.
Puasa Hari Khamis
Mereka yang berpuasa sunat pada hari Khamis pertama bulan Sya’ban dan Khamis terakhir bulan Sya’ban, akan dimasukkan ke dalam Syurga.
Puasa Sehari
Mereka yang berpuasa sunat sehari dalam bulan Sya’ban, akan diharamkan tubuhnya dari api neraka dan masuk Syurga.
Puasa Tiga Hari
Mereka yang berpuasa sunat tiga hari dalam bulan Sya’ban dan berselawat ke atas Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wasallam sebelum berbuka puasa, akan diampunkan dosanya dan diberkati rezekinya.
Puasa Sebulan Sya’ban
Mereka yang dapat menyempurnakan puasa sunat sebulan Sya’ban maka akan dimudahkan Allah semasa sakaratul-maut, terlepas daripada azab kubur, ditutupkan Allah aibnya pada hari Kiamat dan diwajibkan baginya Syurga.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...