Monday, June 28, 2010

Petikan Cerita Al-Qur'an dan As-Sunnah: Hikayat NERAKA

 

Allah SWT telah menciptakan manusia dan jin dan menyuruh mereka sebagai makhlukNya agar menyembah kepadaNya sahaja dan tiada tuhan melainkanNya. Dia juga menyuruh agar hamba-hambaNya yang beriman mendekatkan diri kepadaNya dengan melaksanakan perintah-perintah yang disuruh olehNya dan menjauhi segala laranganNya.
Barangsiapa yang taat dan patuh, dia akan digolongkan di kalangan penghuni ahli syurga dan barangsiapa yang derhaka, maka dia tergolong di kalangan penghuni nerakanya.
Neraka merupakan makhluk ciptaan Allah yang disediakan untuk dicampakkan ke dalamnya penderhaka dan pembesar diri. Telah dinyalakan api di dalamnya selama seribu tahun lamanya sehingga warnanya menjadi kemerah-merahan.
Kemudian dinyalakan lagi api di atasnya sehingga ianya bertukar menjadi putih. Kemudian dinyalakan lagi api di atasnya sehingga ianya menjadi bertukar menjadi hitam kepekatan yang gelap.
Neraka mempunyai wap yang sangat panas. Pintunya sentiasa ditutup rapat. Di bawahnya terdapat beberapa tiang yang menguatkan kedudukannya.
Sesungguhnya neraka telah bersiap sedia untuk menyambut bakal penghuninya dengan warna kepanasan apinya yang berbagai-bagai. Ianya hanya khusus bagi mereka yang menyesatkan manusia dan melakukan kezaliman semasa kehidupan di dunia. Penghuninya juga ialah mereka yang menyangka bahawa mereka tidak akan dibangkitkan semula selepas kematian untuk dihisab dan dihitung serta diazab oleh Allah SWT.
Hikayat-hikayat berkaitan neraka ini, insyaAllah akan mengingatkan sidang pembaca sekalian dengan ancaman dan peringatan azab Allah yang amat pedih. Dan semoga dengan kisah-kisah benar ini juga akan menggemarkan kita untuk melakukan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah SWT dengan berlipat kali ganda untukNya.
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:
"Tiap-tiap diri (yang bernyawa) mesti merasai mati. Sesungguhnya akan disempurnakan pahala kamu pada Hari Kiamat. Barang siapa yang terjauh dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah ia. Tiadalah hidup di dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan."

-Ali Imran: 185-

Kita memohon supaya dariNya agar dijauhkan daripada azab api neraka dan dimasukkan ke dalam syurgaNya dengan perantaraan rahmat dan pengampunan dariNya. Allahlah yang Maha Penolong dan Maha Petunjuk di atas setiap yang bakal dilakukan.
Wallahu'alam.

ORANG PERTAMA MEMASUKI NERAKA

Pada berlakunya hari Perhitungan nanti, akan datang tiga orang lelaki menghadap Allah SWT untuk dibentangkan segala amalan yang telah mereka lakukan. Mereka ini ialah antara kelompok yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT.
Maka telah datang lelaki pertama. Semasa hayat di dunia, dia merupakan seorang mujahid yang keluar berperang menentang musuh Allah SWT untuk mempertahankan agamanya. Lalu dia terbunuh.
Apabila ia dihadapkan di hadapan Allah SWT lalu dibentangkan dan dipamerkan segala amalan dan nikmat yang telah diberikan kepadanya dahulu. Kemudian Allah SWT bertanya:
"Apakah yang telah kamu lakukan dengan nikmat yang telah diberikan kepada kamu dahulu wahai pemuda!!.?".
Lelaki itu menjawab:
"Ya Allah !! Aku telah menggunakan nikmatMu dengan aku berperang di jalan Engkau Ya Allah."
Allah SWT berkata:
"Engkau penipu!! Engkau berperang di medan peperangan untuk dikatakan bahawa engkau seorang yang berani...lalu engkau telah mendapatkannya pujian sanjungan itu daripada manusia."
Kemudian Allah SWT mencampakkannya ke dalam neraka.
Lelaki yang kedua pula datang menghadap Allah SWT. Dia seorang penuntut ilmu dan kemudian mengamalkan dengan ilmu yang diperolehinya. Dia juga seorang qari membaca Al-qur'an. Maka dibentangkan di hadapannya segala amalan dan nikmat yang telah diberikan kepadanya semasa hayat di dunia. Dia akur dan mengaku dengan segala nikmat-nikmat tersebut.
Lalu Allah SWT bertanya kepadanya:
"Apakah yang engkau telah lakukan dengan nikmat-nikmat yang telah diberikan kepadamu ini?"
Lelaki itu menjawab:
"Ya Allah !! Aku telah menuntut ilmu dan aku juga telah beramal dengannya."
Allah SWT menjawab:
"Engkau penipu !!! Engkau menuntut ilmu dan mengajar manusia untuk dikatakan kepada engkau sebagai seorang yang alim dan berilmu. Engkau membaca Al-qur'an juga untuk dikatakan kepada engkau sebagai seorang pembaca yang mempunyai suara yang merdu. Sesungguhnya semua apa yang engkau inginkan itu telah engkau dapati semasa kehidupanmu di dunia...!!"
Maka lelaki itu juga dicampakkan ke dalam api Neraka.
Lalu didatangkan pula lelaki yang ketiga. Dia ialah seorang lelaki yang telah diberikan anugerah dengan harta yang banyak. Apabila dia berdiri di hadapan Allah SWT, dibentangkan segala nikmat dan amalan yang telah dilakukan olehnya. Lelaki itu akur dengan paparan amalannya dahulu.
Maka Allah SWT bertanya:
"Apakah yang telah engkau lakukan dengan kelebihan-kelebihan yang telah diberikan diberikan kepada engkau dahulu?"
Lelaki itu menjawab:
"Sesungguhnya aku telah menafkahkan hartaku itu kepada mereka yang memerlukannya dan kepada jalanMu, ya Allah..!!"
Allah SWT menjawab:
"Engkau penipu..!! Sesungguhnya engkau menafkahkan hartamu itu, hanyalah untuk dikatakan bahawa engkau seorang yang pemurah dan baik hati, lalu engkau telah mendapat pujian tersebut.."
Maka lelaki yang ketiga itu juga dicampak dan direjam oleh Allah SWT ke dalam api neraka yang bernyala-nyala menanti penghuninya lagi.

-Riwayat Imam Muslim-

BIRI-BIRI YANG DISEMBELIH

Ketika hari Kiamat kelak, Allah SWT akan memerintahkan kepada makhluk ciptaanNya iaitu 'mati' supaya menghadap di hadapanNya. Lalu 'Mati' dihadapkan di hadapan Allah menyerupai seekor biri-biri putih. Lalu dia berhenti dan berdiri di dalam sebuah kandang di antara syurga dan neraka.
Tiba-tiba ahli-ahli syurga terdengar satu suara yang memanggil mereka:
"Wahai para ahli syurga.!! Adakah kamu semua mengetahui dan mengenali dengan binatang ini..?" Lalu mereka menjawab: "Ya...kami tahu.!! Itulah 'mati'."
Kemudian suara itu beralih pula menuju ke arah penghuni-penghuni neraka dan bertanya:
"Wahai para penghuni neraka!!! Adakah kamu semua mengetahui binatang apakah ini..?"
Maka mereka menjawab:
"Ya kami tahu.!! Itulah 'mati'."
Selepas persoalan itu ditujukan kepada setiap penghuni syurga dan neraka maka Allah SWT memerintahkan supaya biri-biri putih itu disembelihkan (mati).
Kemudian Allah SWT berfirman lagi:
"Wahai penghuni ahli syurga!! Kekallah kamu di dalam syurga selama-lamanya kerana kamu tidak akan menemui mati lagi."
"Wahai penghuni neraka .!! Kekallah kamu juga di dalam neraka sepanjang masa. Sesungguhnya juga kamu tidak akan menemui mati lagi."
Setelah mendengar janji Allah itu maka bergembiralah para penghuni ahli syurga kerana mereka akan merasai dan menikmati segala nikmat syurga berkekalan selama-lamanya. Manakala pula, para penghuni neraka mereka merasa dukacita dan sedih kerana pastinya mereka akan diseksa dan diazab dengan seksaan pedih yang berterusan."

-Riwayat Imam Muslim-

NILAI KEBAIKAN

Pada berlakunya hari Kebangkitan nanti, semua manusia akan melintasi dan menyeberangi sebatang titi yang bernama 'As-sirat'. Titi itu lebih halus daripada sehelai rambut dan lebih tajam dari sebilah pedang.
Orang-orang yang beriman, mereka akan berjaya dan selamat melintasi titi tersebut. Manakala orang-orang yang derhaka, mereka akan terjatuh dan tersasar daripada laluan di atasnya.
Pada ketika itu, orang-orang yang beriman memohon dan merayu kepada Allah SWT agar mereka dapat menyelamatkan saudara-saudara mereka yang terjatuh ke dalam neraka yang mana mereka ini ketika di dunia juga berpuasa, bersembahyang dan mengerjakan haji seperti yang telah mereka lakukan.
Lalu Allah SWT berfirman:
"Keluarkanlah oleh kamu, sesiapa yang kamu kenali dan kehendaki (tergolong dalam kelompok tadi)"
Lalu orang-orang yang beriman itu pun mengeluarkan saudara-saudara mereka yang disebutkan tadi sehingga tidak ada seorang pun dikalangan mereka yang tertinggal di dalamnya.
Mereka berkata kepada tuhan mereka:
"Ya Allah!! Kami telah keluarkan mereka kesemuanya dan tidak ada yang tertinggal seperti yang telah engkau perintahkan kepada kami ya Allah!!"
Lalu Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Pergilah kamu semula ke neraka.!!! Keluarkanlah oleh kamu sesiapa yang kamu kenali dan dapati pada hatinya kebaikan sebesar satu dinar, maka keluarkanlah ia dari nerakaKu itu.!!"
Maka mereka menuju semula ke neraka lalu mengeluarkan saudara-saudara mereka yang mempunyai kebaikan sebesar satu dinar di dalam hatinya.
Lalu mereka berkata kepada Allah Ta'ala:
"Kami telah mengeluarkan mereka kesemuanya ya Allah, dan tidak ada berbaki di dalamnya lagi!!!"
Allah Ta'ala berfirman lagi:
"Pergilah kamu semua ke neraka semula, dan keluarkanlah mereka yang kamu dapati pada hatinya mempunyai kebaikan sebesar setengah dinar."
Mereka kembali lagi ke sana lalu mengeluarkan saudara-saudara mereka seperti yang telah diperintahkan oleh Allah SWT kepada mereka lalu mereka berkata:
"Wahai Tuhan...!!! Sesungguhnya kami telah mengeluarkan semua saudara-saudara kami seperti yang telah Engkau arahkan."
Kemudian Allah SWT berfirman lagi:
"Pergilah kamu semula ke nerakaKu. Keluarkanlah sesiapa yang kamu mendapati pada hatinya mempunyai kebaikan sebesar sebiji zarah (biji sawi)."
Lalu mereka kembali semula ke neraka dengan gembira. Maka mereka telah mengeluarkan semua manusia yang telah didapati pada hatinya kebaikan walaupun sebesar sebiji buah sawi. Lalu mereka datang menghadap kembali Tuhan mereka yang Maha Perkasa dan Bijaksana lalu berkata:

"Wahai Tuhan !! Sesungguhnya kami telah mengeluarkan semua saudara-saudara kami seperti yang telah Engkau perintahkan kepada kami..."

-Riwayat Imam Muslim-

PELUH PENGHUNI NERAKA

Telah datang seorang lelaki dari Negeri Yaman kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Apabila sampai ke Madinah, dia terus menemui Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang sedang dikelilingi oleh para sahabatnya.
Lalu lelaki itu berkata:
"Ya Rasulullah !! Di negeri kami (Yaman) mempunyai sejenis minuman yang begitu lazat. Kami telah menghasilkannya daripada biji-bijian yang dinamakan juga sebagai air nira/air gandum. Ramai manusia yang suka meminum minuman tersebut. Adakah ianya halal diminum ataupun diharamkan...?"
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bertanya kepadanya untuk mengetahui keadaan air tersebut:
"Adakah air itu memabukkan orang yang meminumnya ataupun tidak...?"
Lelaki itu menjawab:
"Ya, apabila seseorang itu meminum air tersebut maka akan hilanglah ingatannya sementara waktu dan dia akan melupai dengan apa yang berada dan berlaku di sekelilingnya."
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
"Maka setiap yang memabukkan itu, hukumnya adalah haram, dan Allah SWT telah menjanjikan bahawa barangsiapa yang meminum minuman yang memabukkan maka dia akan diseksa dengan diperintahkan meminum minuman lumpur yang begitu menyakitkan..!!"
Para sahabat bertanya:
"Apakah lumpur yang menyakitkan itu ya Rasulullah.!!?"
Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
"Ia adalah peluh penghuni neraka atau nanah-nanah mereka..!!"

-Riwayat Imam Ahmad-

MANUSIA YANG KEKAL DALAM NERAKA

Manusia akan berdiri di hadapan Allah SWT untuk dihisab dan dihitung segala amalan-amalan yang telah mereka lakukan. Pada saat itu, mereka akan tercari-cari sesuatu yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab yang pedih dan menyakitkan.
Maka mereka tidak akan mendapati sesuatu pada saat itu, melainkan Allah SWT akan mengilhamkan kepada mereka dengan cara agar mereka memohon syafaat dan pertolongan daripada para Nabi dan Rasul a.s. ketika itu.
Lalu mereka semua menuju kepada Nabi Adam a.s. yang merupakan bapa kepada manusia keseluruhannya dan memohon syafaat daripadanya. Lalu Nabi Adam melepaskan dirinya daripada mereka dan berkata:
"Saya memohon maaf daripada kamu semua. Sesungguhnya saya juga mempunyai dosa dan kesalahan kepada Tuhanku..!"
Kemudian mereka menuju juga kepada nabi-nabi lain. Begitu juga dengan keadaan para nabi-nabi yang lain. Masing-masing mereka juga mempunyai kesalahan dan dosa kepada Allah SWT.
Akhirnya mereka semua menuju ke arah Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam untuk diberikan syafaat kepada mereka. Mereka memohon syafaat daripadanya lalu dia menerima. Lalu Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam menuju ke arah Tuhannya yang memiliki segala-galanya, lalu dia meminta keizinan daripadanya dan sembah sujudlah dia di hadapan Tuhannya yang Maha Perkasa.
Dia bersujud di hadapan Tuhannya begitu lama dan berterusan sehinggalah Allah SWT berkata kepadanya:
"Wahai Muhammad kekasihku..!! Angkatlah kepalamu, katakanlah kepadaku nescaya Aku akan memperkenankan kata-kata mu. Mintalah kepadaku nescaya Aku akan memberinya. Mohonlah syafaat kepadaKu nescaya Aku juga akan memberikan syafaat kepadamu..."
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengangkat wajahnya dengan penuh kehinaan dan kegembiraan. Dia memuji kebesaran Tuhannya ketika itu. Lalu Allah SWT telah mengasingkan manusia di dalam api Neraka. Mereka itu telah diseksa.
Lantas Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengeluarkan mereka semua daripadanya, sehingga tidak ada seorang pun yang tinggal dan tercicir di dalamnya melainkan mereka yang telah dijanjikan ke atas mereka azab yang berkekalan.

-Riwayat Imam Muslim-

SUARA BATU DI NERAKA

Pada suatu ketika di zaman Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, sedang para sahabat r.a. duduk bersama-sama Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam sambil menceritakan berkenaan Hari Kebangkitan kelak kepada mereka.
Tiba-tiba mereka terdengar satu bunyi hentakan yang begitu kuat dan memekakkan. Ianya seolah-olah seperti bunyi sebiji batu besar yang terjatuh dari tempat yang tinggi. Mereka hairan dan tercengang dengan kejadian itu.
Lalu berkata Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam setelah dia melihat keadaan mereka dalam keadaan hairan:
"Adakah kamu semua mengetahui apakah bunyi itu...?"
Semua para sahabat r.a. melihat tepat ke wajah Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam. Mereka seolah-olah mencari punca kejadian tersebut. Lalu mereka berkata:
"Allah dan RasulNya sahaja yang lebih mengetahui."
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
"Itu adalah bunyi batu besar yang telah dilemparkan ke dalam neraka sejak tujuh puluh tahun yang lalu. Dia sekarang sedang bergerak jatuh dan akan terdampar di dalam neraka lalu akan sampai ke dasarnya..."

-Riwayat Imam Muslim-

MENGINGKARI SESUATU KEBAIKAN

Pada suatu ketika di zaman Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam, telah berlaku satu bencana alam iaitu gerhana matahari, dan lalu Nabi telah melakukan sembahyang gerhana bersama para sahabatnya. Setelah selesai bersembahyang kelihatan matahari kembali bersinar dan bercahaya.
Selepas sembahyang, para sahabat r.a. bertanya kepada Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam:
"Ya Rasulullah... Kami melihat ketika engkau bersembahyang, engkau seolah-olah berenjak sedikit ke belakang. Apakah yang menyebabkan terjadi begitu?"
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam menjawab:
"Sesungguhnya aku telah melihat neraka. Aku tidak pernah melihat permandangan yang begitu dahsyat seumpama itu. Aku melihat kebanyakkan penghuninya adalah di kalangan kaum wanita."
Para sahabat bertanya lagi:
"Ya Rasulullah... Apakah yang menyebabkan mereka dicampakkan ke dalam neraka itu?"
Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam menjawab:
"Disebabkan kekufuran mereka...!!"
Mereka bertanya lagi:
"Adakah mereka kufur kepada Allah (syirik kepadaNya)?"
Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda:
"Tidak. Bahkan mereka kufur (enggan mengaku) dengan ahli keluarga mereka yakni mereka tidak berterima kasih dengan kebaikan suami-suami mereka. Mereka juga kufur dengan ihsan dan jasa suami-suami mereka, dan jikalau kamu semua mengasihi mereka (isteri) sepanjang masa, kemudian mereka telah terlihat sedikit kecacatan dari diri kamu, nescaya mereka akan berkata kepada kamu: "Sesungguhnya aku tidak pernah melihat engkau melakukan kebaikan walaupun sekali (sedikit)..."

-Riwayat Imam Bukhari dan Muslim-

KELDAI YANG BERPUSING-PUSING

Di dalam kepanasan bakaran api Neraka, Allah SWT menyiksa manusia yang menderhakai dan mengikuti hawa nafsu mereka ketika mereka hidup di dunia.
Di antara bentuk siksaan yang akan dikenakan ke atas mereka, ialah mereka akan dicampakkan ke dalam api neraka lalu akan terpecahlah segala usus-usus dan tali perut mereka.
Mereka akan berpusing dan memutar di dalam neraka sepertimana pusingnya seekor keldai mengelilingi sebuah batu pengisar.
Maka akan berkerumunlah para penghuni neraka lain yang mengenalinya semasa di dunia dan bertanya:
"Wahai si fulan! Apakah yang menyebabkan engkau dimasukkan ke dalam neraka ini bersama-sama kami. Bukankah dahulu engkau telah menyeru kami melakukan kebaikan dan menegah kami dari melakukan kemungkaran...?"
Maka lelaki itu menjawab:
"Ya, benar!! Sememangnya sebelum ini aku telah menyuruh kamu melakukan kebaikan tetapi aku tidak melakukannya, dan aku juga telah menyuruh kamu mencegah kemungkaran tetapi aku melakukannya. Maka dengan sebab itu, Allah telah memasukkan aku ke dalam neraka bersama-sama kamu semua dan diberikan aku azab yang paling pedih dan berat!!!"

-Riwayat Imam Bukhari-

SEBURUK-BURUK MAKANAN

Allah SWT telah menyiksa manusia yang tidak beriman kepadanya dengan berbagai-bagai azab yang mengerikan. Mereka yang pertama merasai kepedihan dan kesengsaraan azabNya ialah Iblis Laknatullah alaih dengan keturunannya.
Ianya bermula apabila Allah SWT menyuruh malaikatNya supaya memakaikan pakaian panjang yang dibuat daripada lidah-lidah api neraka digantungkan hingga ke atas kepalanya. Baju itu tergantung di sebelah belakangnya dan ia akan dipegang oleh keturunan dan kaum kerabatnya sambil mereka akan menarik cebisan baju tersebut.
Pada saat itu, Iblis akan mendoakan ke atas dirinya dengan kebinasaan. Lalu kaum kerabat di belakangnya teragak-agak untuk mendoakan diri mereka sepertimana apa yang telah didoakan oleh Iblis Laknatullah alaih.
Kemudian Allah SWT menyuruh mereka berdiri di atas api Neraka. Maka Iblis kembali mendoakan dirinya untuk diberikan kebinasaan. Para syaitan-syaitan yang lain juga masih teragak-agak untuk mendoakan seperti yang telah dikatakan oleh si Iblis Laknatullah alaih.
Maka tiba-tiba mereka terdengar satu suara yang mengejutkan mereka lalu berkata (yang bermaksud):
"Pada hari janganlah kamu menyerukan kebinasaan yang satu, bahkan serulah kebinasaan yang banyak."

-Al-Furqan 14-

Lalu mereka kekal dan akan kekal di dalam neraka dan mereka akan diazab di dalamnya selama-lamanya.

-Riwayat Imam Ahmad-

HIKAYAT BERKAITAN PERKARA YANG MENGELILINGI SYURGA DAN NERAKA

Ketika Allah SWT selesai menjadikan dua makhlukNya iaitu syurga dan neraka, lalu Dia telah memanggil Jibril a.s. menghadap kepadaNya dan berkata:
"Pergilah engkau ke syurga, dan lihatlah apa yang telah Aku sediakan untuk penghuninya nanti."
Dengan pantas dan patuh Jibril a.s. menuju ke syurga dan melihat segala isi kandungannya. Kemudian dia kembali kepada tuhannya dan berkata:
"Demi kemuliaanMu ya Allah... Barangsiapa yang mendengar dan melihat tentangnya pasti ia akan memasukinya."
Lalu Allah SWT telah memerintahkan supaya diletakkan dan dihiasi di sekeliling syurga itu dengan perkara-perkara yang dibenci dan sering dijauhi oleh manusia.
Kemudian Allah SWT menyuruh Jibril kembali melihatnya lalu Jibril berkata:
"Ya Allah. Demi kemulianMu..., aku khuatiri tiada seorang pun dari hamba-hambaMu yang akan memasuki ke dalamnya.."
Setelah itu pula, Allah SWT memerintahkannya lagi untuk melihat pula isi kandungan neraka. Lalu Jibril menuju ke sana dan melihat di sekelilingnya lalu kembali semula, maka ia berkata:
"Demi kemuliaanMu ya Allah... Tidak akan sesiapa yang akan mahu masuk ke dalamnya nanti..."
Maka Allah SWT telah memerintahkan supaya diletakkan di sekeliling Neraka tersebut segala perkara-perkara yang disukai dan diingini oleh setiap manusia. Kemudian Dia memerintahkan Jibril untuk melihatnya lagi.
Apabila Jibril a.s. melihat neraka dikelilingi dengan perkara syahwat dan kesukaan lalu ia kembali kepada tuhannya. Dia merasakan bahawa semua manusia akan mengerumui perkara-perkara di sekeliling Neraka itu dan akan bergelumang dengan kenikmatannya. Lalu Jibril a.s. berkata:
"Wahai Tuhanku, Demi kemuliaanMu... Aku khuatiri bahawa tidak seorang pun dari hambaMu melainkan mereka akan memasuki ke dalam neraka kesemuanya..."

-Riwayat Imam Abu Daud dan Imam Tarmizi-

KEADILAN ALLAH SWT

Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah menceritakan berkenaan syurga dan neraka Allah SWT. Selepas dijadikan keduanya, syurga dan neraka telah datang menghadap Allah SWT untuk diberikan perintah dan tugas kepada keduanya.
Maka neraka pun berkata:
"Sesungguhnya akan ditempatkan di dalamku ini hanyalah orang-orang yang zalim, bermegah diri dan mereka yang menindas ke atas orang lain."
Lalu syurga pula berkata:
"Sesungguhnya padaku pula hanyalah akan ditempatkan orang-orang yang penyayang, lemah dan tiada berharta."
Maka Allah SWT berfirman:
"Wahai syurga!! Engkau adalah rahmatKu. Aku merahmati hamba-hambaKu yang Aku kehendaki hanyalah dengan perantaraanmu."
Kemudian Allah SWT berkata pula kepada neraka:
"Wahai Neraka!!! Sesungguhnya engkau adalah azabku. Aku akan menyiksa denganmu ke atas hamba-hambaKu yang Aku kehendaki."
"Maka dengan itu, setiap daripada kamu berdua pastinya akan dipenuhi dengan hamba-hambaKu."
Ketika dilemparkan dan dicampakkan sekumpulan manusia ke dalam neraka lalu ia berkata:
"Adakah masih lagi mempunyai tambahan kepada ku?"
Dia mengulangi permintaannya sebanyak tiga kali. Selepas kali yang ketiga di akan berkata: "Cukup, cukup, cukup!!" yakni ia telah dipenuhi dengan manusia Maka ketika itu dia akan melipatkan segala isinya. Dia menghimpunkan sebahagian isinya dengan sebahagian yang lain. Lalu dia akan meminta semula isi untuk dimasukkan ke dalamnya lagi.

-Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim-

PENJAGA PINTU NERAKA

Telah datang seorang lelaki kepada Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dan menceritakan tentang perdebatan yang berlaku di antara seorang yahudi dengannya. Lalu lelaki yahudi tersebut telah memenangi perdebatan itu.
Lalu Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bertanya:
"Apakah yang telah dibincangkan oleh kamu sehingga kamu tidak dapat mengalahkan yahudi itu?"
Lelaki itu menjawab:
"Lelaki yahudi itu telah mengajukan persoalan kepada saya berkaitan berapakah bilangan penjaga pintu neraka di Akhirat kelak. Kami tidak mengetahui jawapannya dan kami menangguhkan jawapannya sehingga kami akan bertanya kepadamu dahulu wahai Rasulullah." Terang sahabat itu.
Lantas muka Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam kelihatan merah lalu dia berkata:
"Adakah mereka dikira telah memenangi perdebatan ini sedangkan meraka menanyakan kepada seseorang yang tidak mengetahui jawapannya." Mereka juga sebelum ini, telah menanyakan satu persoalan kepada nabi mereka dengan berkata:
"Tunjukkanlah zat Allah kepada kami dengan seterang-terangnya."
Maka Nabi mereka (Musa a.s.) juga gagal memenuhi permintaan mereka itu.
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah memerintahkan supaya dibawa yahudi yang telah mengajukan persoalan tadi untuk Nabi menjawab persoalan itu di hadapan para sahabatnya.
Apabila dihadapkan yahudi tadi, lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam menyuruh supaya yahudi itu mengulangi semula persoalannya seperti yang diajukannya sebelum ini.
Lalu dia berkata:
"Wahai bapa Qasim!! Berapakah bilangan penjaga Neraka di Akhirat nanti?"
Lalu Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengisyaratkan kepadanya bilangan jari kedua belah tangannya dan menambah sekali lagi sambil menutup satu jari (19 belas).
Firman Allah SWT (yang bermaksud):
"Tahukah engkau apakah neraka (saqar) itu? Ia tiada meninggalkan daging dan tidak membiarkan (tulang), (melainkan mesti dibakarnya), (ia) membakar kulit (manusia), di atasnya ada sembilan belas (penjaga)."

-Al-Muddassir 27-30-
-Riwayat Imam Tarmizi dan Imam Ahmad-

TANDA-TANDA MENDAPAT KELEPASAN

Pada zaman dahulu, terdapat seorang pemuda yang bernama Abdullah. Dia mempunyai seorang ibu yang solehah serta rajin mengerjakan ibadah kepada Allah SWT. Amalan-amalan sunnah juga tidak pernah ditinggalkannya.
Setiap hari, emaknya akan mengingatinya agar dia tidak meninggalkan sembahyang sunat di waktu malam. Apabila dia bersembahyang, ibunya akan mengikutinya daripada belakang.
Pada satu malam, ketika dia ingin bangun bertahajjud, dia terasa begitu mengantuk dan malas sehingga dia terlelap semula. Lalu apabila ibunya melihat keadaan anaknya itu, dengan perasaan kasih kepada anaknya, dia cuba mengejutkan juga dengan perlahan dan kasihan dengan keletihan anaknya sambil berkata:
"Wahai Abdullah! Bangun nak! Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada neraka, dia tidak akan tidur dan dia juga akan dipinangi oleh bidadari-bidadari syurga. Untuk mendapatkan semua kelepasan dan ganjaran ini, mestilah juga mempunyai kelepasan untuk melawan hawa nafsu yang mengongkong diri kita nak!" kata emaknya memujuk.
Apabila terdengar sahaja suara emaknya yang terakhir, lalu dia terjaga dan terus bangun dengan pantas dan dia berdoa:
"Ya Allah ya Tuhanku!! Lepaskanlah aku dari siksaan api NerakaMu, dan masukkanlah aku ke dalam SyurgaMu!!!"
Bermula daripada saat itu, Abdullah begitu bersungguh-sungguh melakukan amal ibadah dan melaksanakan perintah Allah SWT serta berterusan melakukan sembahyang malam yang dilakukannya sebelum ini.
Apabila semangat atau jiwanya berasa lemah dan resah, terus dia cuba untuk mengingati azab tuhannya semula lalu dia bergegas dan bersemangat untuk melakukan ibadah kepadaNya semula.
Amalannya berlanjutan sehinggalah ia diwafatkan.

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...