Diriwayatkan setelah para penghuni syurga selesai menikmati di hari pertama mereka dikumpulkan beramai-ramai di dalam perkampungan syurga yang serba indah di dalam suasana yang amat berbeza dan paling menakjubkan, lalu mereka pun dipakaikan pula dengan pakaian yang serba indah yang dihadiahkan oleh Allah.
Setelah itu, Allah memerintahkan malaikat Jibrail menghantar bau-bauan harum untuk para tetamu yang tidak terbilang ramainya itu. Kemudian muncul pula seekor burung yang ajaib rupanya dan terlalu cantik pula warnanya terbang di udara taman syurga yang permai itu.
Burung ajaib itu terbang di atas perhimpunan yang ramai itu sambil mengembangkan sayapnya mengelilingi bahagian atas kepala mereka. Dari kedua belah sayapnya itu terperciklah bau-bauan yang harum semerbak merinjis pada tubuh dan pakaian setiap ahli syurga itu. Maka harum dan bertambah nyamanlah suasana syurga pada masa itu.
Alangkah tercengangnya para tetamu di perkampungan syurga itu melihat beberapa kejadian ajaib yang ditunjukkan oleh Allah sebagai janji tentang kesenangan dan kebahagiaan yang bakal dinikmati oleh manusia yang beriman di alam akhirat.
Seketika kemudian terdengar suatu suara paling ganjil dan menakjubkan memenuhi ruang taman syurga yang terbentang itu. Suara itu merupakan kalimah dari Allah Subhanahu wa Ta'ala sendiri yang pertama kali didengar oleh manusia.
"Apakah lagi permintaan kamu kepada Aku wahai hamba-hambaKu. Mintalah kepada Aku dan Aku akan memenuhi kehendak kamu semuanya." Demikian kalimah yang berkumandang di setiap penjuru alam syurga pada ketika itu.
Tercengang dan terperanjatlah sekalian manusia penghuni syurga bila mendengar kalimah dari Allah sendiri di bumi syurga yang amat keramat dan bertuah itu. Mendengar kalimah suara dari Allah Subhanahu wa Ta'ala merupakan suatu nikmat yang paling berharga dan mulia yang bakal dikecap oleh manusia beriman dan beramal soleh di syurga nanti. Ia lebih berharga dari segala-galanya dan lebih nikmat dari setiap apa yang pernah dirasai oleh umat manusia di muka bumi ini.
Peristiwa ini tidak akan dikecap oleh manusia-manusia kufur dan kafir. Kerana di akhirat nanti bukan sahaja Allah jijik dan benci melihat mereka malah Allah akan menghalang pendengaran mereka dari mendengar suara dan kalimah-Nya, apalagi untuk melihat wajah Allah.
Kemudian seluruh manusia yang memenuhi ruang taman syurga itu berkata, "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya telah Engkau sempurnakan janji-Mu tentang kenikmatan yang akan Engkau anugerahkan ke atas hamba-hamba-Mu yang mensyukuri setiap nikmat yang telah Engkau kurniakan semasa di dunia. Demikian pun wahai Tuhan kami, izinkanlah kepada kami untuk melihat wajah-Mu di hari akhirat yang Engkau janjikan ini."
Melihat wajah Allah dengan jasad dan mata sendiri merupakan suatu perkara yang paling mustahil dapat dicapai oleh seseorang manusia, kecuali junjungan besar Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam melalui peristiwa Israk dan Mikraj dalam masa hidup di dunia dahulu.
Tetapi apakah kita akan mendapat nikmat melihat wajah Allah di syurga nanti? Inilah suatu kejadian yang akan dinikmati sendiri oleh orang-orang yang mukmin, yang beriman, yang percaya kepada Allah serta mempercayai pula kepada perkara-perkara yang ghaib, bila dihimpunkan di syurga nanti.
Seketika kemudian secara tiba-tiba muncullah sebuah mimbar yang amat ajaib di taman syurga yang penuh berisi dengan manusia yang ramai itu. Malaikat Jibrail muncul di tengah manusia yang ramai itu sambil membimbing tangan Nabi Musa A.S. naik ke atas mimbar yang indah itu untuk membacakan kitab Taurat supaya dapat dihayati oleh seluruh umat manusia di dalam syurga itu.
Setelah Nabi Musa A.S. berada di atas mimbar itu, beliau pun memperdengarkan bacaan Taurat dengan yang lembut dan jelas didengar oleh manusia di situ. Selepas itu Jibrail mempersilakan pula Nabi Isa A.S. ke atas mimbar yang sama untuk memperdengarkan bacaan kitab Injil yang pernah diturunkan kepada beliau oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Setelah Nabi Isa A.S. tamat memperdengarkan bacaannya, kemudian tibalah pula giliran Nabi Daud A.S. untuk memperdengarkan bacaan kitab Zabur kepada manusia di taman syurga itu. Beliau pun membaca kitab itu dengan suara yang lemah lembut dan paling indah hingga menjadi terpegunlah sekalian manusia di taman syurga mendengar suara Nabi Allah itu.
Selepas itu, Malaikat pun mempersilakan pula Nabi Muhammad Shallallahu 'Alaihi Wasallam naik ke atas mimbar itu untuk memperdengarkan bacaan kitab suci al-Qur'an. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam pun naik ke atas mimbar itu lalu membacakan kitab suci al-Qur'an dengan suara yang paling merdu dan tidak pernah didengar oleh sebarang manusia sebelum ini.
Setelah selesai pembacaan kitab-kitab suci yang pernah diturunkan oleh Allah kepada umat manusia itu, maka tiba-tiba terangkatlah suatu hijab (halangan) di langit syurga ketika itu. Apabila terbuka sahaja hijab itu, maka keluarlah angin yang lembut bersama dengan sejenis bauan yang sangat harum dan menakjubkan.
Sekalian manusia yang berada di taman itu berasa terkejut melihat suatu kejadian paling ajaib yang tidak pernah terfikir oleh akal mereka sebelum ini. Dan selepas itu terbukalah suatu hijab yang lebih besar lagi iaitu hijab yang menghalang setiap makhluk dari melihat wajah Allah Subhanahu wa Ta'ala.
Di sinilah merupakan saat paling nikmat dan paling berharga bagi setiap penghuni syurga kerana di sinilah tempat pertemuan sebenarnya antara manusia dengan Tahunnya. Allah lalu memberi salam kepada sekalian manusia yang memenuhi taman syurga pada ketika itu, dan seluruh manusia penghuni syurga tersebut menyambut semula salam Allah dengan rasa nikmat dan syukur yang tidak terperi.
Kemudian berkatalah seluruh manusia itu kepada Allah Maha Pencipta, Allah Maha berkuasa, Yang Maha Pengasih dan Maha Mengasihani, "Wahai Tuhan kami, izinkanlah kami sujud kepadaMu hari ini." Allah membalas permintaan seluruh manusia itu dengan kalimah-Nya, "Wahai hamba-hambaKu, hari ini bukanlah merupakan suatu hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepada-Ku. Tetapi hari adalah hari pembalasan nikmat untuk kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hamba-Ku, syurga bukanlah tempat untuk kamu semua berbuat ibadat, tetapi ia merupakan tempat mulia untuk kamu semua merasa pembalasan nikmat dan kesenangan yang berkekalan. Walaupun begitu, Aku izinkan kamu semua sujud sekali kepada-Ku pada hari ini."
Saudara-saudaraku sekalian, yakinlah dengan sepenuh-penuh keyakinan bahawa di akhirat nanti, kita akan bertemu dengan Tuhan yang kita puja dan sanjung. Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri menerangkan kepada kita bahawa kita akan dapat melihat Allah Subhanahu wa Ta'ala di akhirat nanti.