Dari Aisyah ra. bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: "Bila Allah hendak memasukkan ahli syurga ke dalam syurga, maka Allah mengutus kepada mereka para malaikat dengan membawa hadiah dan kain syurga. Pada waktu mereka akan masuk syurga, maka berkatalah malaikat kepada mereka: "Sesungguhnya aku membawa hadiah dari Tuhan semesta alam." Mereka bertanya: "Apakah hadiah itu?" Malaikat menjawab: Dianya ialah sepuluh cincin yang bertuliskan:
Pertama: Kesejahteraan atasmu, berbahagialah kamu maka masuklah kamu ke dalam syurga ini sedangkan kamu kekal di dalamnya.
Kedua: Kami telah hilangkan kesedihan kebingunganmu.
Ketiga: Itulah syurga yang diwariskan kepadamu, disebabkan amal yang dahulu kamu kerjakan.
Keempat: Kami kahwinkan kamu dengan bidadari-bidadari yang cantik jelita.
Kelima: Di dalamnya ada berbagai macam sungai yang mengalir yang sangat nikmat rasanya.
Keenam: Ini adalah merupakan balasan bagi kamu pada hari ini disebabkan ketaatan yang telah kamu kerjakan.
Ketujuh: Kamu telah menjadi orang yang tidak akan tua selama-lamanya.
Kelapan: Kamu telah menjadi orang yang aman tidak akan takut selama-lamanya.
Kesembilan: Kamu bersama dengan para Nabi, Siddiqin, Syuhada' dan Solihin.
Kesepuluh: Kamu akan berada di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah yang mempunyai Arasy Yang Maha Mulia.
Kemudian malaikat berkata: "Masuklah ke dalam syurga dengan selamat dan aman." Maka mereka masuk ke dalam syurga dan berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah menghilangkan dukacita bagi kami, Sesungguhnya Tuhan kami Maha Pengampun lagi Maha penerima syukur. Segala puji bagi Allah yang telah memenuhi janjiNya kepada kami dan telah memberikan kepada kami tempat ini sedangkan kami menempati tempat di dalam syurga ini di mana sahaja yang kami kehendaki, maka syurga itulah sebaik-baik balasan bagi orang yang beramal."
Bila Allah hendak memasukkan ahli neraka ke dalam neraka maka Allah mengutus malaikat kepada mereka dengan membawa sepuluh cincin yang ditulis dengan ungkapan:
Pertama: Masuklah kamu ke dalam neraka dalam keadaan kamu tidak akan mati di sana selama-lamanya dan kamu tidak akan hidup (aman) dan kamu tidak akan keluar.
Kedua: Tenggelamlah kamu ke dalam seksa yang tiada henti-hentinya.
Ketiga: Putus harapanlah kamu dari rahmat Allah.
Keempat: Masuklah kamu ke dalam neraka dengan penuh kebingungan dan kesedihan.
Kelima: Pakaian kamu adalah api, makanan kamu adalah zaqqum, minuman kamu adalah air yang sangat panas, tikar kamu adalah api dan tempat berteduh kamu adalah api.
Keenam: Ini adalah balasan dari perbuatan maksiat yang kamu lakukan.
Ketujuh: Kemurkaan Allah atas kamu di dalam neraka selama-lamanya.
Kelapan: Atas kamu laknat disebabkan dosa besar yang kamu lakukan dengan sengaja dan kamu tidak bertaubat, serta tidak menyesalinya.
Kesembilan: Teman-teman kamu adalah syaitan di dalam neraka buat selama-lamanya.
Kesepuluh: Kamu telah mengikuti syaitan, kamu telah mengharapkan dunia dan meninggalkan akhirat, maka terimalah pembalasan ini untukmu."