Wednesday, June 30, 2010

BULAN RAMADHAN

KEWAJIPAN BERPUASA


Firman Allah (Surah Al-Baqarah ayat 183 dan 185):


"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu..."
Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah bulan yang setiap tahun dinantikan ketibaannya oleh setiap umat Islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberikan terlalu banyak manfaat, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang menhayatinya.


FADHILAT DAN KEUTAMAAN RAMADHAN


Terdapat puluhan hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manfaat umat Islam di akhirat kelak bahkan faedah di dunia ini.
Walau bagaimanapun faedah dan manfaat itu hanya diberikan kepada umat Islam yang taat menjunjung segala perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Mereka yang ingkar, tidak berpuasa, tidak mengerjakan solat dan lain-lain perintah Allah, tidaklah berhak mendapatnya.
Di bawah ini diringkaskan beberapa maksud Hadis Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam mengenai fadhilat, kelebihan, keutamaan dan kemuliaan bulan Ramadhan serta amal ibadah yang sewajarnya dilakukan.
Pintu langit dibuka
Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:
(Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibukakanlah pintu-pintu langit dan ditutupkan pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan).

(Riwayat Bukhari & Muslim)

Pintu-pintu syurga dibuka
Sabda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:
Pada malam pertama bulan Ramadhan diikatlah semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu-pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun darinya. Dan dibukakanlah pintu-pintu syurga dan tidaklah ditutup satupun darinya. Maka berserulah penyeru; Wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan sesungguhnya Allah mempunyai ahli neraka yang dibebaskan dan sedemikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadhan).

(Riwayat At-Tirmizi & Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Catatan:
Menurut satu riwayat, ribuan ahli neraka dibebaskan pada tiap-tiap malam bulan Ramadhan.
Amal ibadah bulan Ramadhan:
Dalam khutbah terakhir bulan Sya'ban untuk persediaan menghadapi bulan Ramadhan, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam telah memberi nasihat kepada umat Islam supaya menyempurnakan berbagai amal ibadah sepanjang tahun Ramdhan:

  1. Solat sunat Tarawih.
  2. Solat-solat sunat yang lain.
  3. Bantu membantu sesama umat Islam seperti bersedekah dan seumpamanya.
  4. Memberikan hidangan berbuka puasa.
  5. Banyakkan membaca Tahlil (Syahadah, berzikir, bertasbih dan seumpamanya).
  6. Banyakkan beristighfar dan bertaubat, memohon keampunan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  7. Banyakkan berdoa memohon syurga dan perlindungan dari azab neraka.
  8. Banyakkan bersabar, kerana bulan Ramadhan adalah bulan kesabaran.
  9. Tinggalkan dan jauhi dari segala perbuatan maksiat dan kemungkaran, kerana ia boleh menghapuskan ganjaran pahala ibadah kita. Ini termasuk jangan mengumpat, berkelahi, boros, fitnah memfitnah, berbohong dan sebagainya.
Ganjaran Pahala Ibadah dan Fadhilatnya
Ganjaran pahala mereka yang mengerjakan amal ibadah dalam bulan Ramadhan adalah berlipat ganda. Ibadah fardhu diberi pahala sehingga tujuh puluh kali ganda; manakala ibadah sunnat diberi pahala seperti ibadah fardhu. Pada keseluruhannya, bulan Ramadhan ini terbahagi kepada tiga bahagian:
1. Untuk mendapat rahmat Allah Subhanahu wa Ta'ala yang mencurah-curah.
2. Untuk mendapat keampunan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
3. Untuk mendapat pelepasan dari azab neraka.
Fadhilat yang lain-lain.
  • Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga.
  • Doa orang yang berpuasa dimakbulkan Allah Subhanahu wa Ta'ala.
  • Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka puasa dan apabila bertemu dengan Allah pada Hari Kiamat kelak.
  • Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Subahanahu wa Ta'ala.
  • Orang yang berpuasa disertai menjauhi segala larangan semasa berpuasa, dan mengerjakan amal ibadah sunat seperti bertahlil, bertasbih dan seumpamanya, dibinakan mahligai yang indah di syurga.
  • Setiap kali sujud orang yang berpuasa Ramadhan dikurniai seribu tujuh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohonkan keampunan baginya dari pagi hingga petang.
Demikian sebahagian dari berbagai fadhilat dan kelebihan orang yang berpuasa Ramadhan.
[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...