Soalan:
Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam adalah seorang yang maksum. Walaupun begitu, saya pernah mendengar bahawa baginda juga ditimpa sakit dan pernah diracun. Tetapi adakah baginda turut pernah menjadi mangsa sihir. Mohon juga ustaz jelaskan konteks maksumnya Nabi Shallallahu 'Alaihi Wasallam.
Jawapan:
Sakit adalah sifat manusia, baginda juga mengalami luka yang banyak dalam peperangan Badar dan banyak lagi yang baginda lalui ummat ini, lebih-lebih lagi di awal perkembangan nur Islam.
Maksum berasal dari bahasa arab, juga telah dimelayukan. Dalam bahasa arab ia membawa makna terpelihara dari melakukan dosa kecil mahupun dosa besar serta kesalahan-kesalahan yang boleh mencemar keperibadian seseorang.
Maksumnya Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam bererti: baginda terpelihara dari melakukan sesuatu perbuatan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta apa-apa kesalahan yang boleh mencemar keperibadian baginda.
Mengikut kamus Dewan maksum bermaksud: “terpelihara atau bebas dari dosa, tidak tercela, tidak berdosa”. (Kamus Dewan Edisi Keempat, DBP, hlm: 985).
Mengikut takrifan al-Jurjani al-‘ismah maksud bermaksud: “Kemampuan menjauhi perbuatan maksiat sedang dia mampu melakukannya”. (al-Jurjani, Kitab al-Ta’rifat, hlm: 195)
Di dalam kebanyakan kitab-kitab akidah ahlu sunnah wal jamaah para ulama berpendapat bahawa baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam terpelihara daripada dosa besar dan dosa kecil serta apa-apa kelakuan yang boleh mencacatkan keperibadian baginda.
Menurut Sheikh Ja’far Subhani bahawa Nabi yang maksum mampu melakukan kemaksiatan dan dosa, sesuai dengan kemampuan dan kemerdekaan yang ada pada baginda tetapi kerana baginda telah mencapai peringkat takwa yang tinggi, ilmu yang qatie terhadap akibat dosa dan kemaksiatan serta kerana pengaruh timbulnya perasaan mengagungkan Khaliqnya.
Dengan demikian ia terpelihara dari perbuatan itu, dan ia tidak melakukan perbuatan walaupun dengan kemampuan dan kekuasaannya sendiri.
Adapun persoalan mengenai Baginda Shallallahu 'Alaihi Wasallam terkena sihir tidak mencacatkan keterpeliharaan Baginda, juga tidak mencacatkan ‘ismah Baginda sebagai seorang rasul.
Perkara ini banyak dibincangkan oleh ulama. Ada diantara mereka yang tidak menyetujui baginda terkena sihir. Antaranya ialah Abu Bakr al-Asham, pengarang al-Ta’wilat.
Pak Hamka juga tidak setuju dengan pendapat yang mengatakan baginda terkena sihir kerana beberapa sebab berikut, pertamanya; seolah-olah merendahkan martabat nubuwwah (kenabian). Keduanya; menimbulkan keraguan dalam syariat yang ketiganya; sihir itu pada hakikatnya tidak ada.
Ada juga yang berhujah bagi menolak baginda disihir kerana martabat hadis ini Ahad. Antaranya ialah Al-Qasimi di dalam Mahasinul ta’wil, Sayyid Qutub di dalam Fi Zilal al-Quran.
Tujuan mereka menolak adalah kerana tidak mahu baginda Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam dilihat ada tempoh baginda terganggu daripada segi akal.
Ini kerana ketika baginda terkena sihir baginda teragak-agak melakukan sesuatu dan sering bertanya kepada 'Aisyah r.a mengenai perkara yang baginda kerjakan.
Adapun sebahagian jumhur ulama berpendapat, baginda pernah terkena sihir. Ini kerana mereka tidak berganjak daripada berpegang kepada hadis yang sahih biarpun martabatnya Ahad. Surah al-Falaq adalah bukti baginda pernah terkena sihir.
Dalam riwayat yang dimuatkan oleh Imam Ibn Kathir, daripada 'Aisyah r.a, pada suatu hari baginda berkata kepada 'Aisyah: “Hai 'Aisyah! Aku diberi perasaan bahawa Allah memberi fatwa kepadaku pada perkara yang aku meminta fatwa dari-Nya; maka datanglah dua malaikat yang seorang duduk di sisi kepalaku dan yang seorang lagi duduk di sisi kakiku: “Lelaki ini (Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam) telah disihir! Kawannya bertanya: “Siapa yang menyihirnya?” Malaikat yang duduk di kepala menjawab: “Labid bin ‘Asam”. Kawannya bertanya lagi dengan apa? Malaikat yang di kepala menjawab: “Pada himpunan rambut dan sikat yang patah dan penutup kepala lelaki (kain serban), dihimpit dengan batu di dalam perigi Dzu Auran. Dalam sesetengah riwayat baginda sendiri masuk ke dalam perigi itu dan mengeluarkannya."
Dalam riwayat yang lain baginda meminta beberapa orang sahabat agar mengeluarkannya. Dalam riwayat Ibn Abbas, bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam menyuruh Ali bin Abi Talib dan Zubair bin Awwam serta Ammar bin Yasir memeriksa sumur tersebut.
Setelah dibuang airnya dan menyelam ke dalam mereka dapati menang benar terdapat bungkusan kain yang terkandung di dalamnya gumpalan rambut dan sikat baginda berserta sepotong kayu yang terikat tali padanya dengan sebelas ikatan dan pada setiap ikatan ada tusukan jarum. Kemudian turunlah surah ini yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad); Aku berlindung kepada (Allah) dari cuaca subuh. Tuhan yang menciptakan sekalian makhluk. “Daripada bencana makhluk-makhluk yang Ia ciptakan. “Dan daripada bahaya gelap apabila ia masuk. “Dan daripada kejahatan makhluk-makhluk yang menghembus-hembus pada simpulan-simpulan (dan ikatan-ikatan); Dan daripada kejahatan orang yang dengki apabila ia melakukan dengkinya. (al-Falaq: 1-5 ).
Sebanyak 11 simpulan itu terungkai setelah malaikat mengajar baginda membaca dua surah al-Falaq mengandungi lima ayat dan surah an-Nas mengandungi enam ayat.
Selesai membaca kedua-dua surah ini baginda terasa lega dan lapang kembali. Sehingga hari ini dalam ilmu perubatan Islam kedua surah ini menjadi senjata bagi menyembuhkan gangguan sihir.
Source: http://www.virtualfriends.net/article/articleview.cfm?AID=48100