Thursday, June 17, 2010

API DAN ASAL USUL JIN

Menurut al-Quran, Allah Subhanahu wa Ta'ala mencipta jin daripada api yang panas. Berbeza dengan malaikat yang Allah cipta daripada cahaya. Allah juga menjelaskan bahawa Dia menciptakan jin dan malaikat lebih dahulu daripada manusia. Tetapi tidak diketahui secara tepat jarak waktunya di antara dua penciptaan itu.
Dalam al-Quran terdapat dua istilah api yang dijadikan jin itu. Ada yang dikatakan nar al-samum (api yang sangat panas) dan ada pula yang dikatakan marij (nyalaan api). Daripada tafsiran ulama, tidak terdapat perbezaan ketara antara keduanya. Cuma al-samum adalah sifat yang ditambahkan yang merupakan penjelas kepada ciri atau sifat marij.
Oleh itu jelas sifat-sifat api itu juga ada pada jin. Api bersifat ringan, terdiri daripada campuran pelbagai warna dan ia tiada bentuk yang tetap; boleh memanjang, memendek, lentok ke kiri atau ke kanan dan sebagainya. Dari segi faktanya jin dikatakan bergerak pantas; boleh terbang di udara dan menyelam di air. Jin juga diketahui ada berbagai-bagai warna. Ia boleh mengubah bentuk tubuh badannya; memanjang, memendek, bulat, lonjong dan sebagainya.
Selain itu jin mempunyai beberapa kelebihan seperti tidak dapat dilihat oleh manusia, dapat masuk ke dalam bumi dan mempunyai umur yang panjang. Semua kelebihan-kelebihan itu adalah hasil permintaan jin yang diperkenankan oleh Allah ketika awal-awal jin dicipta.
Daripada Ibn Abbas r.a.: "Allah menciptakan pemimpin jin daripada nyalaan api. Kemudian dikatakan kepada jin yang baru sahaja dicipta itu: 'Mintalah sesuka hatimu.' Maka jin pun berkata: 'Aku meminta agar aku dapat melihat tetapi aku sendiri tidak boleh dilihat, aku meminta agar dapat masuk ke dalam bumi dan aku meminta supaya dipanjangkan usia dan menjadi muda lagi sebelum mati.'"

[tweetmeme only_single="false"]
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...