|
Berwuduk merupakan salah satu amalan wajib bagi umat Islam sebelum mengerjakan solat lima waktu. Tahukah anda fadhilat membaca doa selepas wuduk? Sebaik sahaja anda selesai berwuduk, anda disunatkan membaca doa selepas wuduk sambil mengadap ke arah kiblat.
Maksudnya: "Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan melainkan Allah yang esa tiada yang menyekutui-Nya. Dan aku menyaksikan bahawa Muhammad itu hamba dan pesuruh-Nya. Ya Allah , jadikanlah aku dari hambaMu yang soleh. Maha Suci Allah dengan sifat kepujianMu. Aku menyaksikan tiada Tuhan melainkan Engkau. Ku mohon ampun dan taubat padaMu. Dan Allah rahmati serta sejahterakanlah junjungan kami Muhammad, keluarga serta sahabat-sahabat Baginda."
Sabda Rasullullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam:
"Sesiapa yang mengambil wuduk dengan baik kemudian dia berkata, Asyhadu al laa ilaaha illAllah wahdahu laa syariikalah, wa asyhadu anna Muhammadan 'Abduhu wa rasuuluh, Allah hummaj 'alni minat tawwaabin, waj'alni minal mutatohhiriin (maksudnya: Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah esa (Tuhan) saja tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu adalah hamba dan utusanNya. Allah jadikanlah aku dari kalangan orang yang banyak bertaubat dan jadikanlah aku dari kalangan orang yang menyucikan diri), akan dibuka untuknya kesemua lapan pintu-pintu syurga agar dia memasukinya dari mana dia suka.
(Hadis Riwayat At-Tarmizi(50); Sahih: Sahih At-Tarmizi(55) dan An-Nasai(148); Sahih: Sahih An-Nasai(148))
Di Sebalik Angka 7 |
Allah menciptakan 7 hari dalam seminggu. Langit sebagai atap kita terdiri dari 7 tingkat atau lapisan. Tanah yang kita pijak ada 7 lapis. Tubuh kita terbahagi menjadi 7 bahagian. Surah Al Fatihah ada 7 ayat dan berbagai jumlah 7 yang lain. Tapi tahukah anda makna disebalik angka 7 itu?
Asy-Syaikh Al Imam Abu Nashr Muhammad bin Abdirrahman Al Hamdani dalam kitabnya Assab’iyyatu fi Mawa’idhil Barriyah menyatakan, Dzat Pencipta yang sangat besar kekuasaanNya dan sangat tinggi kedudukanNya iaitu Allah SWT telah menghiasi 7 perkara dengan 7 perkara. Dan menghiasinya pula bagi tiap-tiap 7 perkara itu dengan 7 perkara lainnya. Hal tersebut sengaja Allah ciptakan untuk memberitahu kepada orang-orang yang berilmu bahawasanya di dalam angka 7 itu mempunyai keunikan dan rahsia yang besar.
Pertama
Allah menghiasi udara ini dengan tujuh lapis langit sebagaimana firman Allah dalam surah An-Naba’ ayat 12:
“Dan Kami (Allah) jadikan di atas kamu 7 (langit) yang kukuh.”
Allah menciptakan langit dunia pertama dari air, langit kedua dari embun, langit ketiga dari besi, langit keempat dari perak, langit kelima dari emas, langit keenam dari mutiara dan langit ketujuh dari mira delima. Setelah itu dibelahnya yang antara tiap-tiap bahagian berjarak lima ratus tahun.
Kemudian Allah menghiasi langit itu dengan tujuh bintang. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 16,
“Dan sesungguhnya Kami telah menjadikan gugusan bintang di langit dan Kami telah menghiasinya bagi orang-orang yang memandangnya. ”
Tujuh bintang yang dimaksudkan adalah bintang Zuhal, Musytari, Marikh, Syamsu, Zahra, Athorid dan Qamar.
Kedua
Allah telah menghiasi tanah yang lapang dengan 7 lapis bumi. Sebagaimana firman Allah dalam surah Ath-Thalaq ayat 12,
“Allah-lah yang telah menciptakan 7 langit dan bumi seperti itu pula ….”
Kemudian Allah menghiasi (bumi) itu dengan 7 lautan. Sebagaimana firman Allah dalam surah Luqman ayat 27,
“… dan laut, ditambahkan kepadanya tujuh laut lagi sesudahnya.. .”
Tujuh lautan yang dimaksud adalah lautan Thobaristan, Karman, Oman, Qolzam, Hindustan, Rum, dan Maghrib.
Ketiga
Allah telah menghiasi neraka dengan 7 tingkatan, iaitu neraka Jahannam, Sa’ir, Saqar, Jahim, Huthamah, Ladho dan Hawiyah. Tentang nama-nama neraka ini sesuai dengan firman Allah, neraka Jahannam dalam surah Al Hijr ayat 43; neraka Sa’ir dalam surah Al Inshiqaq ayat 12; neraka Saqar dalam surah Al Muddatstsir ayat 42; neraka Jahim dalam surah Asy Syura ayat 91; neraka Huthamah dalam surah Al Humazah ayat 5; neraka Ladho dalam surah Al Ma’arij ayat 15 dan neraka Hawiyah dalam surah Al Qari’ah ayat 9.
Allah menghiasi tiap-tiap neraka itu dengan 7 pintu. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Hijr ayat 44,
“Neraka itu mempunyai tujuh pintu, tiap-tiap pintu telah ditetapkan untuk golongan tertentu dari mereka.”
Keempat
Allah menghiasi Al Quran dengan 7 surah yang panjang. Dan Allah menghiasinya pula dengan 7 ayat Ummul Kitab Al Fatihah, sebagaimana firman Allah dalam surah Al Hijr ayat 87,
“Dan sesungguhnya Kami (Allah) telah berikan kepadamu (Muhammad) 7 ayat yang dibaca berulang-ulang (iaitu Al Fatihah) dan Al Quran yang agung.”
Kelima
Allah menghiasi manusia dengan 7 anggota badan, iaitu dua tangan, dua kaki, dua lutut, dan satu wajah. Kemudian Allah menghiasinya dengan tujuh peribadatan, iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk, dan wajah dengan sujud, tujuh anggota badan manusia ini adalah tujuh anggota tempat sujud. Ada sebagian ulama yang mengatakan bahwa tujuh anggota badan manusia ini adalah otak, urat, urat saraf, tulang-belulang, daging, darah dan kulit.
Keenam
Allah menghiasi umur manusia dengan 7 tingkatan (tahap). Pada masa baru lahir dinamakan tahap radhi’ (menyusu), kemudian tahap fathim (disapih), tahap shabiyyi (bayi), tahap ghulam (kanak-kanak) , tahap syaab (pemuda atau remaja), tahap kuhul (meningkat usia antara 30-50 tahun) dan terakhir tahapan syaikh (masa tua). Selanjutnya Allah menghiasi 7 tahap umur ini dengan tujuh kalimat yaitu ucapkanlah kalimat syahadat, Laa Ilaaha IllAllaahu Muhammadur Rasuulullaah. Sebagaimana firman Allah dalam surah Al Insyiqaq ayat 19,
“Sesungguhnya (kejadian atau penciptaan) kamu melalui tingkat demi tingkat (dalam kehidupan).”
Ketujuh
Allah menghiasi dunia ini dengan 7 negeri yang besar, iaitu 1. Hindustan, 2. Hijaz, 3. Bashrah, Baduyah, dan Kufah, 4. Irak, Syam (Syiria), Kurasan sampai Balakh, 5. Roma dan Armenia, 6. Ya’juj dan Ma’juj, dan 7. Cina Turkistan.
Allah menghiasi 7 negeri yang besar ini dengan tujuh hari, iaitu Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu. Dan Allah memuliakan ketujuh hari ini dengan tujuh dari para nabi, iaitu Allah memuliakan Nabi Musa dengan hari Sabtu, Isa bin Maryam dengan hari Ahad, Dawud dengan hari Isnin, Sulaiman dengan hari Selasa, Ya’qub dengan Rabu, Adam dengan hari Khamis dan Muhammad beserta umatnya dengan hari Jumaat.
Secara amnya, masih banyak lagi rahsia angka tujuh yang lain. Dalam masyarakat kita juga mengenal tradisi dengan angka tujuh contohnya hamil tujuh bulan, tujuh hari kematian, sumpah tujuh turunan dan lain-lain.
Kehamilan pada usia tujuh bulan dimaksudkan kerana pada umur tujuh bulan ini si janin sudah dalam keadaan sempurna, baik dari segi fizikal mahupun ruhnya dan siap untuk dilahirkan. Manakala mengenang tujuh hari kematian kerana pada hari ke tujuh ini para ahli waris sudah mulai melupakan atau menerima kepergian si mati. Tentang sumpah tujuh turunan, kerana kita pada kebiasaannya mengenal nasab kita ke atas rata-rata sampai peringkat tujuh keturunan sahaja, bagi keturunaan kelapan dan seterusnya mungkin kita sudah tidak mengenalnya lagi.
Namun begitu, Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam sendiri tidak pernah mengajarkan tradisi-tradisi yang disebutkan tadi. Begitu pula dengan para Imam Mazhab dan para ulama tidak pernah mengajarkan hal-hal yang demikian. Dan yang pasti hanya Allah yang tahu rahsia angka 7 tersebut kerana Dialah yang menciptakan.